Wednesday, 10 December 2014

KAUNSELING PELBAGAI BUDAYA- MISI MENJEJAKI GELANDANGAN


MISI MENJEJAKI & MENDEKATI GELANDANGAN (SESI 2)

10 Disember 2014, Rabu.                                                   Central Market, Kuala Lumpur 


Misi kali ini adalah bersama rakan-rakan sekelas saya iaitu, Zikri Zulkefli, Iylia-Anati, Syazwani, Nurul Ain, Fatin Farhan, Nur Salehah, Sameera Asyiqin, dan Zafidi Zain. Tujuan asal kami untuk misi ini adalah untuk interview golongan MARGINAL.

Misi Menjejaki Gelandangan, Sesi 1 , Semeseter 2. With my senior course. 


9pm , Universiti Putra Malaysia, Selangor.

Sebelum memulakan perjalanan kami 9 orang ke sana, kami terlebih dahulu singgah di sebuah pasar borong untuk membeli makanan ringan yang boleh dijadikan bekalan untuk diberikan kepada golongan gelandangan ini. 
Banyak masa dihabiskan disini disebabkan kesesakan lalu lintas dan banyak pasar borong yang tutup dan kami terpaksa mencari pasar borong 24 jam.

12am , Pasar Seni, Kuala Lumpur.

Setibanya di Pasar Seni pada jam 12a.m, kami terlebih dahulu mengagihkan plastik yang berisi makanan ringan seperti biskut, Apollo dan air mineral pada setiap ahli. Kami mula berjalan secara berkumpulan ke beberapa lorong dan berhati-hati kerana dikhuatiri apa-apa di luar jangkaan akan terjadi.
Setibanya di kawasan dataran tidak jauh daripada bangunan Central Market, kami melihat beberapa lelaki dewasa sedang tidur di bahagian belakang pentas yang di set-up untuk program-program besar yang diadakan hampir setiap minggu di situ. Percubaan pertama kami berjaya apabila kami dapat mendekati seorang lelaki dewasa berumur 30 tahun yang masih belum tidur di situ.


SITUASI 1: LELAKI PAHANG BERUSIA 30 TAHUN

Beliau melarang kami untuk mengambil gambarnya meskipun beliau sudi untuk berbual bersama kami untuk 10 minit sahaja. 
Abu (bukan nama sebenar) berkata bahawa dia telah hidup sedemikian hampir 3 bulan untuk mencari kerja. Lelaki yang berasal dari sebuah kawasan Felda di Pahang ini mengakui bahawa dia mempunyai 2 orang adik perempuan yang tinggal di sekitar Kuala Lumpur ini, tetapi Abu tidak mahu menyusahkan adik-adik perempuannya yang sudah berkhawin dan tinggal di merata tempat.

“Abang kerja apa di kampung?” Tanya saya kepada Abu.
“Kerja angkut sawit je. Dah lama tinggal di kampung, abang bosan. Itu sebab abang datang KL nak cari kerja. Dah 3 bulan pun kat sini. Ada juga balik Pahang sekejap. Kemudian abang datang sini semula.”

Abu masih belum mendapat pekerjaan meskipun sudah 3 bulan di sini. Tetapi katanya dia sudah mencari kerja di sekitar kawasan Bukit Bintang untuk menjadi pelayan kelab malam. “Abang nak cari kerja yang enjoy-enjoy je, dah bosan duduk di kampung, abang mintak kerja kat pub. Entah dapat tidak.” katanya. Abu hanya mengharapkan pihak luar datang memberikan makanan kepadanya sepanjang dia berada di situ.
Melihatkan persekitaran Abu tinggal, pada mulanya saya sendiri merasakan sangat tidak selesa untuk menemu ramah dia. Dengan bau stokingnya yang busuk, rambutnya yang kusut masai, mukanya yang cengkung-mengkung, membuatkan saya lebih berhati-hati kerana dikhuatiri orang yang kami dekati ini adalah seorang penagih dadah. Akan tetapi apabila saya perhatikan pula kawasan persekitaran yang dipilih Abu untuk menumpang bermalam di situ, di mana kawasan itu adalah sebuah pentas dengan kerusi serta peralatan PA system di situ, saya merasakan lebih lega kerana kawasannya agak terbuka, bersih dan di situ terdirinya sebuah khemah sementara yang besar di mana pada siang harinya kawasan itu adalah tumpuan bagi pelancong luar dan dalam negara berkumpul. 

Kata Abu, setiap hari dia akan dapat menonton konsert percuma daripada penyanyi-penyanyi terkemuka di Malaysia yang sering dijemput untuk ke majlis-majlis yang diadakan di situ, seperti Awie, Ella dan Jamal Abdilah. Ini membuatkan dia masih terus tinggal di kawasan Kuala Lumpur meskipun di kawasan kampungnya lebih selesa dengan rumah sendiri kerana saya melihat, Abu memang sukakan keseronokan. Namun setelah beberapa minit berlalu dan Abu mengatakan dia sudah mengantuk dan ingin tidur, kami meneruskan perjalanan ke lorong yang lain pula.


SITUASI 2: MAK CIK BERBANGSA INDIA DARI PUCHONG

Pada awalnya niat kami hanya untuk meletakkan makanan secara senyap-senyap tanpa mengejutkan mereka, tetapi ada yang bangun dan mengucapkan terima kasih kepada kami. Tidak kurang juga yang terus mencapai dan membuka bungkusan makanan tersebut dan makan sejurus selepas melihat makanan diberikan. Melalui pemerhatian saya, majoriti gelandangan di sekitar kawasan itu adalah lelaki, namun demikian tidak kurang pula beberapa orang perempuan tua yang tidur di situ.
Saya sempat bersembang dengan seorang mak cik yang berbangsa India yang berasal dari Puchong ini, dan mak cik ini mengatakan beliau baru tinggal di sini hampir 23 hari dan dikatakan akan pulang ke Puchong pada keesokkan hari kami menemu ramahnya. Tujuan mak cik ini ke kawasan Central Market ini masih kurang jelas namun raut wajahnya menunjukkan sangat gembira melihatkan makanan ringan yang kami berikan. 
Saya merasa sangat sebak melihat akan fenomena sedemikian dan tertanya-tanya di manakah anak-anak perempuan tua ini berada sekarang. Sungguh tidak berhati perut membiarkan seorang perempuan tua ini tidur beralaskan kotak dan berbantalkan beg bajunya sahaja tanpa selimut dan tidur di pinggir pintu sebuah kedai dan seperti kita di rumah.


SITUASI 3: NASIB SEORANG MUALAF 59 TAHUN

Perjalanan kami tidak berhenti setakat di situ sahaja. Memandangkan bungkusan makanan kami masih banyak, kami meneruskan perjalanan ke lorong hadapan menghala ke Bangkok International Bank. Kawasan persekitaran di situ agak bersih namun kegelapan dan kesunyian di situ membuatkan kami merasa sedikit terancam kerana masih ada golongan muda yang belum tidur melepak di sekitar itu. Tanpa kami duga, di hadapan Bangkok International Bank, begitu ramai sekali gelandangan tidak mengira bangsa, tua, muda, warganegara, warga asing, perempuan, lelaki dan tidak kurang pula golongan marginal lain seperti pondan yang menumpang tidur di situ. 

Dek kerana bilangan kami yang ramai, ada di antara mereka yang bangun dan melihatkan apa yang terjadi dan mungkin ada antara mereka gelisah sekiranya kami adalah pihak berkuasa yang datang membuat operasi. Setelah dilihat kami hadir dengan membawa bungkusan makanan, maka kami pun mengambil kesempatan ini untuk bersembang bersama mereka. Memandangkan bilangan gelandangannya yang ramai, setiap daripada kami menemu ramah dengan orang yang berbeza.

Ketika saya menghulurkan bungkusan makanan kepada seorang lelaki tua yang berbangsa Cina ini, saya tertarik untuk berhenti di situ dan mula mengambil kesempatan untuk bersembang dengannya menggunakan Bahasa Mandarin. Alhamdulillah, lelaki tua ini sangat teruja kelihatannya untuk bersembang bersama saya apabila mendengar saya menggunakan bahasa Mandarin. Lelaki tua yang berbangsa Cina ini berusia 59 tahun dan masih belum berkahwin. Menurut beliau, beliau adalah anak tunggal kepada keluarganya. Saya mula berminat untuk bertanya bagaimanakah nasibnya menjadi seperti sekarang yang tinggal gelandangan sedemikian. 

Menurut Pak cik Xiang (bukan nama sebenar), beliau mula tinggal di sini hampir 7 tahun kerana kecacatan kedua-dua belah tangan yang dimilikinya. Pak cik Xiang mula menunjukkan tangan kanannya, saya melihat jari manisnya sudah lembik manakala antara ibu jari dan jari telunjuknya juga sudah patah. Lebih mengejutkan saya lagi apabila melihat ibu jari di tangan kirinya pula mempunyai satu lagi ibu jari tambahan. Ini bermakna beliau mempunyai 6 jari di tapak tangan kirinya. Sejujurnya ini adalah kali pertama saya melihat perkara luar biasa sedemikian. Menurut cerita beliau, 7 tahun yang lepas beliau merupakan seorang buruh kasar membina bangunan di sekitar Kuala Lumpur. Pada 2 tahun yang lepas, beliau dianiayai oleh kontraktornya di mana sudah 10 bulan bekerja tanpa dibayar gaji. Kemudian beliau meneruskan menjadi buruh kasar dengan kontraktor lain pula setelah berhenti dengan kontraktor lamanya.

Nasibnya menjadi kurang baik apabila berlakunya kemalangan di tapak pembinaan sehingga tangan kanannya patah dan mengalami cacat kekal sehingga sekarang. Beliau ada membuat aduan pada ketika itu akan tetapi pihak kontraktor hanya memandang perkara sedemikian sebagai sesuatu yang remeh. Akibat tangannya yang sudah tidak kuat untuk berfungsi, peluang beliau untuk bekerja kuat seperti dahulu sudah tiada. Menurut Pak cik Xiang, “Saya ada mengambil upah untuk bekerja di sekitar kawasan ini dengan mengangkat barang, tetapi apabila tangan saya mula merasa sakit, orang sudah tidak mahu mengupah saya lagi. Jadi sekarang saya terpaksa duduk seperti manusia tidak berguna dan menunggu ajal datang. Saya juga tidak mempunyai wang untuk membuat rawatan di hospital.” 

Namun demikian, apa yang telah terjadi kepada Pak cik Xiang ada hikmahnya kerana ekoran kemalangan yang dialaminya dan sejak itu beliau mula hidup sebagai seorang gelandangan, 3 tahun kemudian telah ditakdirkan beliau mendapat Hidayah pertamanya untuk menerima Islam. Saya sangat terkejut apabila beliau mengaku di hadapan saya bahawa beliau adalah Islam.

Bagaimanakah beliau seorang bangsa Cina boleh tergerak hati untuk menerima Islam? Pak cik Xiang tersenyum lantas meneruskan ceritanya. Suatu ketika dahulu beliau mengakui bahawa beliau merupakan seorang bekas penagih dadah. Berbagai kesilapan yang pernah dilakukannya seawal umurnya 11 tahun lagi sehingga menyebabkan keluarga kecilnya porak peranda. Namun demikian Pak cik Xiang mengatakan bahawa beliau telah menerima balasannya apabila beliau dijatuhkan hukuman penjara selama beberapa tahun. Hidup sebagai seorang bekas banduan banyak mengajarnya erti kehidupan. Setelah keluar dari penjara, Pak cik Xiang mula menjalani kehidupan seperti manusia normal iaitu bekerja sebagai buruh kasar dan menjalani kehidupan seperti biasa sehingga beliau diambil kesempatan oleh orang lain dan mengalami kecacatan kekal. 

7 tahun lalu, Pak cik Xiang seakan-akan hilang harapan untuk meneruskan hidupnya lagi. Kini, dengan umurnya yang menghampiri 60 tahun, mengalami kecacatan kekal di kedua belah tangannya, tiada tempat bergantung dan hidup sebatang kara, beliau hanya mengharapkan sumbangan bantuan makanan daripada sumbangan masyarakat setempat dan pihak kebajikan masyarakat.
Lalu 2 tahun kemudian, seorang kawan Melayunya mula berdakwah tentang Islam kepadanya. Beliau menceritakan bahawa kawannya pernah memberitahu bahawa satu-satunya cara untuk hidup kita tenang adalah dengan bertaubat. Alhamdulillah, Pak cik Xiang mula memeluk agama Islam dan kini beliau telah 5 tahun bergelar sebagai mualaf. Akan tetapi, beliau mengakui bahawa meskipun sudah 5 tahun memeluk Islam, masih banyak perkara yang tidak difahaminya tentang Islam.

Katanya, “saya merasa sangat rugi kerana tidak belajar tinggi, jika tidak masa ini sudah pasti banyak ilmu berkenaan agama Islam yang saya fahami kerana saya boleh membaca dengan baik dan boleh menjadi seorang mukmin yang baik. Bacaan solat saya juga hanya bergantung kepada surah Al-Fatihah semata-mata. Itupun saya belajar dengan menghafal slang bacaan tersebut serangkap demi serangkap daripada kawan saya. Akan tetapi makna disebalik ayat-ayat tersebut saya langsung tidak fahami. Sejujurnya saya tidak pandai sangat membaca. Apa yang ditulis di papan tanda jalan raya pun saya hanya boleh membaca suku kata demi suku kata sahaja. Dan ini membuatkan saya merasa suatu kerugian kerana tidak dapat memahami Islam dengan lebih meluas memandangkan banyak buku agama ditulis dalam tulisan Jawi, bahasa Melayu dan Inggeris. 

Meskipun ada buku agama Islam yang ditulis dalam Bahasa Mandarin seperti mana mualaf di negara China belajar, namun saya dapat merasakan perbezaan maksud di sebalik pertukaran bahasa tersebut apabila diterjemahkan dalam Bahasa Mandarin di Malaysia. Islam itu cantik. Saya pernah lihat cara bagaimana mualaf di Korea belajar agama Islam. Mereka mempunyai buku agama yang dialih bahasakan ke dalam bahasa Korea dan bunyi bagi setiap ayat-ayat suci Al Quran adalah sama seperti mana ayat-ayat tersebut dibaca dalam Bahasa Arab. Sebenarnya di sini masih ada ramai lagi mualaf seperti saya, tetapi jika dilihat di masjid-masjid dan surau yang berdekatan, bilangan jemaah mualaf yang solat hanya beberapa orang sahaja. Ke manakah mereka pergi sebenarnya? Saya pasti kebanyakkan mereka mempunyai masalah yang sama seperti saya hadapi.”

Hati saya mula tersentuh apabila mendengar kata-kata daripada seorang mualaf itu. Saya merasakan suatu tanggungjawab besar untuk membantu golongan ini disebabkan saya diberi kelebihan tuhan untuk fasih berbahasa Mandarin. Mula timbul keinginan saya untuk menulis buku agama yang dialih bahasakan kepada Bahasa Mandarin. Tetapi, mampukah diri ini untuk menceburi ke arah bidang itu? Bahasa Mandarin saya sendiri pun sudah banyak lupa akan penulisannya. Saya ada bertanya, mengapa beliau tidak belajar agama di Masjid yang berdekatan sahaja?

Mualaf ini mula berkata, “ Bukan niat saya untuk memperlekehkan atau mengata sesiapa. Saya lihat orang Melayu yang dilahirkan sebagai Islam sendiri pun kebanyakkannya tidak ke masjid untuk menunaikan solat jemaah. Dengan gaya hidup mereka di sini yang seperti kurang mengamalkan pendekatan Islam, jadi dengan siapa lagi harus saya bertanya? Saya cuma mengharapkan bantuan para Tabligh yang datang ke masjid untuk belajar tentang agama Islam. Namun apa yang membuatkan keinginan saya terbatas adalah, kebersihan diri saya. Apabila saya sudah memeluk agama Islam, ini bermakna saya harus mengikut garis panduan yang ditetapkan dalam agama Islam, iaitu diri dan pakaian saya perlu bersih dahulu sebelum memasuki masjid supaya saya tidak mengganggu orang lain untuk beribadat. Tapi cuba kamu lihat saya sekarang, tempat yang saya tidur hanya beralaskan kotak sahaja. Tidur bersama-sama orang yang tidak saya kenal, mandi sekali sehari sahaja dengan menumpang mandi bilik air di hotel-hotel dan kedai yang berdekatan. Adakah keadaan saya sesuai untuk menuntut ilmu di masjid? Tambahan pula masjid juga tidak membenarkan golongan seperti kami untuk menumpang tidur. Oleh itu keadaan memaksa saya untuk  meneruskan hidup sebegini.”

Dengan berhati-hatinya, saya mula menyusun ayat dalam Bahasa Mandarin supaya maksud mesej yang saya cuba sampaikan dialih bahasakan dengan tepat  iaitu dengan cuba memberi harapan bahawa di negara kita masih ada pihak-pihak yang bertanggungjawab untuk membantu golongan mualaf seperti beliau sebagai contoh daripada pihak Kebajikan Masyarakat atau PERKIM.

Beliau mula menyusun rapat kakinya yang bersila di atas kotak dan berkata, “2 tahun lepas sejurus saya memeluk agama Islam, saya dinasihatkan kawan-kawan untuk memohon bantuan daripada Pusat Kebajikan Masyarakat yang berdekatan. Segala borang dan dokumen telah saya persiapkan. Akan tetapi, permohonan bantuan saya ditolak hanya disebabkan saya yang hidup gelandangan seperti ini tidak ada alamat tetap. Apabila saya memberitahu bahawa saya seorang mualaf, mereka menyuruh saya untuk membaca bacaan solat di hadapan mereka dan mula menanyakan hukum hakam tentang Islam yang saya akui langsung tidak difahami secara mendalam memandangkan pada ketika itu saya baru sahaja memeluk Islam. Pada waktu itu bacaan surah Al-Fatihah saya juga kurang fasih dan ini menimbulkan kecurigaan sama ada adakah benar saya seorang mualaf? Pihak Kebajikan Masyarakat takut sekiranya saya dikatakan menipu untuk menerima bantuan tersebut. Kini sudah 2 tahun borang saya masih diproses tanpa sebarang keputusan. Pihak PERKIM juga ada memberikan bantuan makanan kepada saya dan di situ sahaja harapan saya untuk meneruskan hidup. Kini saya sedar bahawa ini adalah balasan atas segala perbuatan jahat yang pernah saya lakukan suatu ketika dahulu dan saya tidak mempercayai sesiapa lagi melainkan Allah.” Pak cik Xiang sempat membaca beberapa potong ayat dalam Surah Al-Fatihah kepada saya ketika itu. 

Pak cik Xiang hanya bergantung hidupnya kepada ALLAH sahaja meskipun beliau merasakan ilmu agamanya sangat kurang dan disebabkan kebersihan dirinya yang kurang terjaga membuatkan beliau kurang selesa untuk masuk ke Masjid untuk menunaikan solat penuh 5 waktu kerana dikhuatiri mengganggu ibadat orang lain. Kehidupannya sebagai seorang gelandangan memberi banyak masa kepada mualaf ini untuk berfikir mengenai kebesaran Allah di samping melihat situasi-situasi masyarakat di sekitar kawasan itu pada masa kini. Menurut katanya, “ Saya lihat gaya hidup remaja pada masa kini banyak dipengaruhi oleh gaya asuhan ibubapa mereka. Anak-anak tidak sepatutnya dikasari dan dihukum sekiranya membuat salah ketika di alam sekolah rendah lagi. Mereka sepatutnya diberi kasih sayang dan ilmu agama yang mencukupi supaya pertumbuhan mereka lebih sihat pada masa akan datang. Jika ibu bapa terus-menerus mengherdik dan mendidik mereka secara kasar, anak-anak ini akan bersifat memberontak dan akhirnya melakukan berbagai tingkahlaku yang tidak sepatutnya dilakukan malah di luar pengetahuan ibu bapa. Saya risau jikalau anak-anak ini terjebak dengan gejala negatif seperti mana saya pernah alaminya suatu ketika dahulu. Dahulu saya juga seperti mereka, tidak fikir jauh. Tetapi disebabkan umur semakin meningkat dan banyak masa dihabiskan dengan memerhatikan orang sekeliling, saya mula risaukan apa akan jadi kepada generasi akan datang. “

Saya mula berseloroh untuk menasihatkan beliau supaya berkahwin. Pak cik Xiang tergelak mendengar kata-kata saya. “ Nanti kalau saya kahwin, saya nak bagi anak isteri saya makan apa dan tinggal di mana? Diri sendiri pun tidur merata tempat. Hari ini saya tidur di sini, esok lusa saya berpindah di tempat lain. Hari ini saya dapat makan, esok lusa belum tentu saya makan lagi. Tak akan saya nak bawa mereka hidup seperti saya? Nak bekerja pun saya sudah tidak larat, lagipun umur saya sudah 59 tahun, tidak layak untuk membina keluarga dengan keadaan saya sedemikian. Lebih baik saya jalani kehidupan saya seperti biasa dan menunggu masa Allah menarik nyawa saya.” Jawapan yang diberikan berbeza sungguh dengan Abu yang ditemu ramah pada permulaan misi gelandangan kami di mana Abu masih leka dengan mencari keseronokan di dunia.


3am, Central Market.

Perbualan kami terpaksa dihentikan di sebabkan jam sudah menunjukkan sudah pukul 3 pagi dan melalui pemerhatian saya sudah mula ada tanda-tanda yang agak mencurigakan dan bahaya di sekitar kawasan yang kami membuat sesi temu ramah tersebut. Pondan, mak nyah, dan beberapa lelaki dewasa yang mencurigakan mula berkeliaran dan memerhatikan kami dari jauh.


#TB misi gelandangan 1st with my seniors, same place. 


REFLEKSI:

Berdasarkan pemerhatian saya, saya dapat lihat lingkungan usia majoriti golongan gelandangan yang tinggal merata-rata tempat ini adalah berusia 25 hingga 60 tahun. Manakala faktor utama mereka tiada tempat tinggal yang tetap adalah kerana pengangguran dan tiada tempat bergantung. Namun ada juga yang mengambil kesempatan di mana mereka sempurna fizikal dan mental tetapi tidak mahu berusaha mengubah kehidupan sendiri. Selain itu, saya juga sempat berbual dengan gelandangan yang lain di mana ada antara mereka yang berpenyakit selain cacat seperti sakit jantung dan penyakit kulit di mana mereka tidak mampu untuk membiayai yuran perubatan kerana kekangan kewangan yang menghimpit kehidupan mereka sehingga terpaksa menjalani kehidupan sedemikian. Tidak kurang juga di mana saya lihat seorang warga Indonesia yang tidur bersebelahan seorang Mak Nyah dimana pada awalnya saya fikir dia adalah perempuan tulen. Kesemua mereka tidur beralaskan kepingan kotak dan berbantalkan beg baju masing-masing.  


Sebagai seorang bakal kaunselor, saya merasakan golongan ini sangat memerlukan bantuan dan perhatian bukan hanya daripada pihak masyarakat, badan-badan kebajikan, pihak kerajaan, malah daripada MAHASISWA dan MAHASISWI juga. Kisah hidup mereka yang berbagai kini membuka mata saya bahawa tidak semua orang mampu menjalani kehidupan yang senang seperti mana saya secara peribadinya jalani. Kita patut sentiasa muhasabah diri dan lebih bersyukur daripada sentiasa complaint itu dan ini serba serbi tidak kena. Bersyukurlah kerana di luar sana masih ada yang teraniaya tapi tidak dibela, tersesat tapi tidak dipimpin, jahil tetapi tidak dibimbing dan sakit tetapi tidak dirawat. Saya berharap agar suatu ketika nanti saya mampu untuk membantu golongan gelandangan yang terhimpit sedemikian supaya masyarakat dapat bersikap lebih prihatin dan bertanggungjawab. 



SEKADAR PERKONGSIAN.
P/S: Gambar tidak diambil atas permintaan mereka yang ditemu ramah.


Thank you for reading.
Visit my Instagram: http://instagram.com/lurve_aloevera

GASTRIK- 6 TANDA 8 CARA

Assalamualaikum. Hey dude! Ada kengkawan aku selalu complain dia tetiba sakit kepala, muntah berak tanpa sebab dan pedih perut yang mencuc...